
Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mencipta sejarah ke final Piala Dunia Hoki 5s. Foto FIH
SKUAD hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara bakal menerima habuan sewajarnya susulan kejayaan mara ke pentas final edisi sulung kejohanan Piala Dunia Hoki 5s 2024 berlangsung di Muscat, Oman.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya sudah mempertimbangkan perkara itu biarpun menyedari badan induk sukan hoki negara berdepan kewangan terhad.
“Saya akan pastikan apabila mereka pulang mesti dapat bayaran. Saya simpati kepada mereka ini kerana saya sendiri (KHM) kewangan terhad… kita banyak gunakan untuk skuad kebangsaan.
“Elaun latihan buat mereka pun sedih nak diperkatakan. Kadang-kadang minta kasut baharu pun kita tak mampu nak belikan tapi mereka tidak pernah meminta,” katanya dalam sidang media di KHM, Bukit Jalil.



