Trio pecut wanita hampir atasi rekod kebangsaan

Trio pecut wanita hampir atasi rekod kebangsaan

ferzalfie@hmetro.com.my

Nilai: Skuad pecut berpasukan wanita negara tetap mempamerkan semangat juang tinggi apabila hampir memecahkan rekod kebangsaan walaupun dua pelumba utamanya berdepan masalah kesihatan di pusingan akhir Piala Dunia Trek, hari ini.

Gandingan Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid mencatat masa 48.297 saat (s) dalam pusingan pertama sebelum tewas kepada Poland (Marlena Karwacka, Nikola Seremak dan Nikola Sibiak) yang merekodkan 47.673s di Velodrom Nasional Malaysia.

Terdahulu, trio negara mencatat 48.274s dalam pusingan kelayakan, hanya sedikit di belakang rekod kebangsaan 48.086s yang dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina bulan lalu.

Anis yang juga pelumba kelahiran Perlis berkata, keputusan itu tetap positif mengambil kira keadaan dirinya yang baru pulih daripada demam, manakala Nurul Izzah juga kurang sihat.

“Saya tak anggap ini mengecewakan sebab kami hampir dengan rekod kebangsaan. Saya baru sembuh demam dan Izzah pun tak sihat, jadi kami masih mampu catat masa baik, itu sesuatu yang positif,” katanya.

Menurutnya, skuad negara sebenarnya menyasarkan peningkatan masa dalam pusingan pertama selepas kelayakan, namun beberapa faktor menjejaskan usaha berkenaan.

“Dalam kelayakan kami fokus untuk layak ke pusingan seterusnya. Bila masuk pusingan pertama, kami nak perbaiki masa, tapi mungkin keadaan trek sedikit berubah dan tekanan juga memainkan peranan,” katanya.

Dalam pada itu, perlumbaan di laman sendiri tetap memberi suntikan semangat buat skuad negara untuk memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Anis turut menjelaskan perbezaan permukaan trek antara Nilai dan venue ACC di Tagaytay sedikit sebanyak mempengaruhi catatan masa.

“Trek di sana lebih baharu dan permukaannya lebih lancar, tapi ini gelanggang sendiri, jadi kami tetap beri yang terbaik,” katanya.

Mengulas perancangan seterusnya, Anis berkata, tumpuan kini terarah kepada dua kejohanan utama iaitu Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Selain itu, dia juga sedang menyesuaikan diri dengan peranan baharu dalam pasukan.

“Saya kini beralih dari posisi ketiga ke posisi pertama, jadi saya perlu lebih kekuatan dan kuasa letupan untuk bantu pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top