Op Taring Chiller: Simpan karkas simpan sembelihan tidak sah, 7 ditahan

Op Taring Chiller: Simpan karkas simpan sembelihan tidak sah, 7 ditahan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Skudai: Seramai tujuh individu termasuk enam lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan ditahan pihak berkuasa selepas disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah di sebuah premis makanan sejuk beku di Kawasan Perindustrian Selaran, di sini, hari ini.

Melalui Op Taring Chiller pada jam 10.30 pagi itu, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Veterinar.

Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pegawai dari Jabatan Veterinar Putrajaya dan Johor.

Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah karkas daging babi sejuk beku yang memiliki dokumen penyembelihan meragukan.

“Kesemua daging itu disyaki tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Perkara ini merupakan kesalahan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 22 karkas daging babi dengan anggaran berat 1,058 kilogram (kg) dirampas dalam operasi tersebut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM63,486,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk enam lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.

“Kesemua warga Nepal itu ditahan atas kesalahan menyalahgunakan atau melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pemilik premis pula ditahan kerana menggajikan pekerja asing dan akan diambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.

“Semua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Manakala kes berkaitan pelanggaran peraturan penyembelihan diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top