ABUJA – Kira-kira 40 orang maut pada awal Khamis selepas terhidu gas kimia beracun yang disyaki berpunca daripada produk petroleum di Rivers State, wilayah kaya minyak di Nigeria, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Jurucakap polis Rivers State Blessing Agabe memberitahu Xinhua menerusi telefon bahawa kejadian berlaku berhampiran tapak pemprosesan minyak mentah di kawasan kerajaan tempatan Okrika, apabila mangsa dipercayai terdedah kepada gas berbahaya berkepekatan tinggi.
Agabe berkata polis, bersama pihak kesihatan dan kecemasan tempatan melancarkan siasatan berhubung kejadian itu manakala sebahagian mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Memetik sumber komuniti, akhbar harian Nigeria The Nation Newspaper melaporkan kira-kira 200 golongan muda tiba dengan bot buatan tempatan pada awal Khamis untuk mengambil produk petroleum dari satu lokasi pada sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Okari di tepi sungai, yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengambilan minyak secara haram.
Ketika produk petroleum itu sedang dipindahkan, gas berbau menyengat daripada bahan berkenaan memenuhi udara sehingga menyebabkan mangsa sesak nafas.
Sekurang-kurangnya 37 mayat yang dikenal pasti sebagai penduduk Okrika ditemukan di tempat kejadian manakala ramai lagi masih hilang, lapor akhbar itu dengan memetik sumber tempatan. – Bernama