‘Zaman elit tentukan perjalanan negara sudah berlalu’ – Muhammad Sanusi

‘Zaman elit tentukan perjalanan negara sudah berlalu’ – Muhammad Sanusi

KOTA BHARU – Zaman golongan elit menentukan perjalanan negara sudah berlalu dan kini tiba masa golongan marhaen bangkit menentukan nasib negara bangsa, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, golongan kaya dianggarkan hanya mewakili 10 peratus rakyat, namun menguasai antara 75 hingga 80 peratus kekayaan, manakala 90 peratus lagi marhaen yang berkongsi sekitar 25 peratus saja kekayaan.

“Jadi saya rasa ini tidak adil, tiba masa untuk orang marhaen menentukan nasib mereka.

“Jangan serahkan nasib kepada orang elit, mereka tidak faham kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam Podcast Anak Muda sempena Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.

‘Zaman elit tentukan perjalanan negara sudah berlalu’ – Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah motosikal kepada penerima bertuah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, golongan-golongan elit juga sukar memahami bahasa percakapan harian yang digunakan oleh marhaen apatah lagi untuk memahami jiwa serta kehidupan yang dilalui mereka.

Katanya, oleh sebab itu ramai golongan elit yang marah apabila mendengar beliau sendiri menyebut istilah-istilah mewakili marhaen yang agak kasar sehingga disalah tafsir sebagai kurang ajar, samseng atau maki-hamun.

“Mungkin kasar sedikitlah bahasa saya, brutal dan ada yang tidak selesa, tapi ini bahasa saya, bahasa kita semua yang ramai.

“Kita tidak boleh guna bahasa bangsawan atau bombastik yang payah orang faham,” katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, beliau bukan bermaksud mengata mana-mana golongan elit yang masih boleh memahami jiwa marhaen tetapi golongan itu biasanya digambarkan seperti ‘beranak dalam jelapang padi’.

“Mereka yang beranak dalam jelapang atau dalam kepuk beras ini, tidak faham orang susah, berlakon sahaja memahami tetapi sebenarnya dia tak faham.

“Jadi saya bercakap, memimpin, mengendalikan sesuatu perkara dari perspektif orang susah,” ujarnya.

Scroll to Top