Kisah Nishimura: Wanita pertama ahli yakuza

Kisah Nishimura: Wanita pertama ahli yakuza

Tokyo: Dunia gelap yakuza yang suatu ketika dahulu menguasai kegiatan dadah, perjudian haram dan perdagangan seks di Jepun kini semakin runtuh.

Jumlah ahli kumpulan jenayah terancang itu jatuh di bawah 20,000 tahun lalu, terendah sejak 1958, berikutan tindakan keras pihak polis dan undang-undang antimafia yang diperketatkan.

Antara yang nama popular yang dikaitkan dengan dunia ini adalah Nishimura, 58. Dia adalah wanita pertama diiktiraf sebagai ahli kumpulan itu selepas dipenjarakan kerana memiliki dadah ketika berusia 22 tahun.

Bertatu penuh dengan imej naga dan harimau, Nishimura menempuh dunia yakuza selama tiga dekad, di mana kekerasan dan kepimpinan autoritarian menjadi budaya utama.

“Geng saingan pandang rendah pada saya sebab saya wanita dan saya benci perkara itu.

“Saya mahu diiktiraf sebagai yakuza, jadi saya belajar bercakap, berpenampilan dan berlawan seperti lelaki,” katanya kepada AFP di wilayah Gifu, tengah Jepun.

Dalam pada itu, bekas detektif antimafia, Yuichi Sakurai berkata, keahlian wanita dalam yakuza amat jarang dan beliau tidak pernah menemui seorangpun sepanjang 40 tahun kerjayanya.

Kini, Nishimura bekerja di tapak perobohan bangunan, antara tempat kerja yang menerima seorang bertatu penuh.

Nishimura juga mengetuai cawangan Gifu bagi Gojinkai, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang membantu bekas penjenayah membina kehidupan baharu.

Rakan seperjuangannya, Yuji Moriyama, 55, menggambarkan Nishimura sebagai ‘kakak besar’ yang tegas tetapi penyayang terhadap ahli lain.

Bagi Nishimura, membantu orang lain memberi semangat baharu untuk meninggalkan dunia silamnya.

“Perasaan bahawa saya lakukan sesuatu yang baik untuk orang lain beri saya keyakinan,” katanya.

Dia kini perlahan-lahan membina semula hidupnya selepas terjebak dengan jenayah sejak usia muda.

Nishimura yang pernah memotong hujung jarinya dalam ritual penebusan kesalahan yakuza, kini bertekad menjadi insan lebih baik.

Dia mengakui dunia jenayah itu sudah tidak sama lagi, dengan ramai bekas ketua kini hidup susah selepas penguatkuasaan undang-undang diperketat.

“Saya rasa yakuza akan terus mengecil.

“Saya harap mereka akan pupus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top