BEKASI – Tragedi ngeri melibatkan sebuah Kereta Rel Listrik (KRL) yang dirempuh dari belakang oleh Kereta Api Argo Bromo Anggrek di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat pada malam 27 April lalu mengorbankan 16 penumpang wanita.
Dalam kejadian tersebut, KRL berkenaan sedang berhenti menunggu isyarat perjalanan sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta api jarak jauh itu, sekali gus menyebabkan hentaman kuat pada gerabak khas wanita yang menjadi lokasi utama mangsa terkorban.
Antara mangsa yang terkorban ialah Nurlaela, 37, seorang guru sekolah rendah yang dikenali sebagai pendidik berdedikasi dan komited terhadap tugasnya.
Allahyarhamah juga baru sahaja menamatkan pengajian sarjana di Universiti Negeri Jakarta sebelum tragedi berlaku.
Beliau meninggalkan seorang anak tunggal dan dikenang sebagai insan yang rajin, pendiam dan bertanggungjawab dalam kerjaya serta keluarga.
Seorang lagi mangsa, Nur Ainia Eka Rahmadhyna, 23, mencetuskan suasana pilu apabila jenazahnya dibawa pulang dalam keadaan peti tertutup tanpa dapat dilihat buat kali terakhir oleh ahli keluarga.
Detik itu menyaksikan tangisan ahli keluarga, khususnya adik mangsa yang merayu agar peti dibuka, namun terpaksa menerima hakikat kehilangan yang tidak dapat diubah.
Kisah menyayat hati turut membabitkan Harum Anjarsari, 30, yang dilaporkan beberapa kali meluahkan kepada ibunya bahawa beliau ‘ingin pulang’ beberapa hari sebelum kejadian.
Mangsa yang sepatutnya bercuti bersama keluarga itu turut sempat menghantar pesanan terakhir kepada suami sebelum tragedi berlaku, menjadikan detik tersebut kenangan paling sukar dilupakan keluarga.
Nur Alimatun Citra Lestari, 19, pula merupakan seorang pelajar universiti yang disifatkan sebagai penyayang dan mudah bergaul.
Beliau kali terakhir dikesan berada di Stesen Jatinegara sebelum dilaporkan hilang dan kemudian disahkan antara korban dalam tragedi berkenaan.
Seorang lagi mangsa, Vica Agnia Fratiwi, 23, dikenang sebagai graduan cemerlang yang menamatkan pengajian dengan lulus dengan kepujian dari Universiti Lampung.
Allahyarhamah juga dikenali sebagai individu berdisiplin, rajin beribadah serta mempunyai cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Tragedi itu bukan sekadar kemalangan pengangkutan rel, sebaliknya merakamkan kehilangan sekumpulan wanita yang mempunyai latar kehidupan berbeza namun sama-sama berbakti kepada keluarga, kerjaya dan masyarakat.
Kehilangan mereka meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta masyarakat, selain menimbulkan persoalan terhadap aspek keselamatan sistem pengangkutan rel di Indonesia.- Agensi



