Kisah tular Cikgu Farhan pikul beras untuk murid asrama SK Pinawantai palsu

Kisah tular Cikgu Farhan pikul beras untuk murid asrama SK Pinawantai palsu

am@hmetro.com.my

Ranau: Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, di sini, menafikan kisah seorang guru muda yang berkorban meredah hutan hampir tiga jam demi memastikan murid asrama tidak terputus bekalan makanan.

Guru Besar, Roseline Liji, berkata cerita guru berkenaan yang tular di media sosial tidak berlaku di SK Pinawantai.

“Kedudukan SK Pinawantai berhampiran jalan besar, tiada asrama dan boleh dihubungi menggunakan kenderaan.

“Selain itu, tiada guru bernama Farhan bertugas di SK Pinawantai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pemilik hantaran di media sosial itu menurunkan bahan berkenaan demi menjaga nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan SK Pinawantai.

Hari ini, tular cerita pengorbanan seorang guru muda di pedalaman Ranau menyentuh hati ramai, apabila sanggup meredah hutan hampir tiga jam demi memastikan murid asrama tidak terputus bekalan makanan.

Guru dikenali Cikgu Farhan, 26, dipercayai memikul kampit beras dan barangan keperluan asas yang dibeli menggunakan wang gaji selepas jalan utama ke sekolah rosak akibat cuaca buruk sejak beberapa minggu lalu.

Penduduk mendakwa keadaan jalan berlumpur menyebabkan kenderaan sukar masuk ke kawasan sekolah.

Bekalan makanan pula semakin berkurangan sehingga ada murid hanya makan ala kadar sementara menunggu bantuan tiba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top