'Kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai' – Mohamad

'Kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai' – Mohamad

am@hmetro.com.my

Seremban: Tindakan mengumumkan hanya 25 kerusi ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kerana persefahaman dibuat dengan rakan politik yang boleh dipercayai.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih tiada calon, antaranya Sikamat, Gemas dan Paroi akan diumumkan kemudian.

“Seperti disebut Datuk Seri Presiden atau Pengerusi BN tadi (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN Ke-16 ini, kita akan buat persefahaman dengan kawan.

“Tetapi jangan risau, kita tiada persefahaman dengan Linggi (merujuk Datuk Seri Aminuddin Harun yang mengumumkan bertanding di DUN Linggi).

“Kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai, insya-Allah,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN-16 Negeri Sembilan, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Media sebelum ini melaporkan PAS menerusi Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada UMNO sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti itu dapat dimuktamadkan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dilapor berkata, parti itu tiada sebarang perjanjian dengan PAS berkait PRN Negeri Sembilan, kecuali persefahaman sesama parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top