hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tengok video itu, saya terkejut sebenarnya dan saya kasihan dengan kakitangan kita.
“Saya terkejut sebab pernah dengar ini berlaku (kakitangan dimarahi kerana pemeriksaan kenderaan gagal) sebelum saya menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) tetapi (kali ini) saya lihat sendiri,” kata CEO Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Mahmood Razak Bahman.
Mahmood Razak memberi reaksi itu dalam video perkongsian Puspakom di Facebook yang turut memaparkan petikan video rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kakitangan agensi itu dimarahi seorang lelaki dipercayai kerana pemeriksaan kenderaannya gagal.
Mahmood Razak berkata, dalam masa sama beliau turut berbangga dengan kakitangannya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi marah atau membalas tindakan individu berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau berpandangan situasi seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana tindakan pihaknya tidak meluluskan pemeriksaan kenderaan berdasarkan syarat ditetapkan kerajaan.
“Kita menggagalkan (tidak meluluskan) ataupun dia menggagalkan kenderaan berkenaan kerana tidak mematuhi syarat atau tahap piawaian ditetapkan oleh kerajaan, dan itu adalah demi keselamatan di jalan raya.
“Kalau pengguna sentiasa menjaga kenderaan, buat pembaikan berkala, maka ini (gagal dalam pemeriksaan) tidak akan berlaku. Kalau dia gagal kerana tayar, umpamanya tayar memainkan peranan amat penting untuk keselamatan jalan raya, sama juga brek atau lampu tak menyala juga bahaya kepada pengguna lain,” katanya.
Menurut Mahmood Razak, tindakan yang dilakukan pihaknya itu adalah demi keselamatan pengguna jalan raya dan ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau piawaian ditetapkan.
“Jadi dia (mana-mana pihak) tidak boleh marah, dia tidak menjaga kenderaan jadi tidak lulus (pemeriksaan), dia perbaiki (mengikut piawaian) dan kemudian datang semula dan akan lulus,” katanya.
Katanya, jika sekiranya menjadi kes pihak berkuasa, beliau bertekad akan mempertahankan kakitangannya yang bekerja dengan berintegriti.
“Itu clear (jelas). Ini juga membuktikan bukan semua kakitangan di Puspakom tidak berintegriti. Ada yang menjalankan tugas dengan berwibawa, berintegriti dan mengikut SOP ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




