KJH Sarawak Segulai Sejalai gegar Kota Samarahan

KJH Sarawak Segulai Sejalai gegar Kota Samarahan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Karnival Jom Heboh (KJH) kembali menemui pengunjung di Sarawak menerusi Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini di pekarangan sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

Memasuki edisi ke-23 penganjurannya, karnival itu dijangka menghimpunkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan hiburan, aktiviti riadah, pameran interaktif serta program mendekati masyarakat dalam suasana santai dan mesra keluarga.

Penganjuran kali ini turut dijayakan menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Menerusi kerjasama itu, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan menerusi pameran serta aktiviti yang disediakan oleh agensi di bawah kementerian berkenaan.

Antara program yang disusun sepanjang tiga hari karnival ialah Aktiviti Zumba Bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jom Lokal Jam, Konsert Jom Heboh serta Jom Heboh Fun Run yang menawarkan kategori larian sejauh lapan kilometer dan lima kilometer.

Konsert Jom Heboh pada 1 Ogos dijadual menampilkan Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X.

Sementara itu, konsert penutup pada 2 Ogos pula akan dimeriahkan dengan persembahan Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan.

Selain itu, Jom Heboh Fun Run akan berlangsung pada pagi 2 Ogos dengan pelepasan peserta kategori lapan kilometer pada jam 6.30 pagi, diikuti kategori lima kilometer pada jam 7 pagi di Pentas Utama.

Justeru, orang ramai sekitar Samarahan, Serian, Kuching, Bau serta seluruh Sarawak hadir memeriahkan karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga sepanjang tiga hari penganjurannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top