Tokyo: Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu meletakkan sasaran untuk menghadiahkan gelaran Piala Asia kepada negara itu sebelum mengakhiri tempoh kendaliannya selepas Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) melanjutkan kontraknya sehingga tamat kejohanan berkenaan tahun depan.
Moriyasu, 57, akan terus mengemudi skuad Samurai Blue sehingga saingan Piala Asia berakhir pada Februari depan sebelum menyerahkan tugas kepada pengendali skuad Bawah 21 tahun Jepun, Go Oiwa yang akan mengambil alih persiapan pasukan menuju Piala Dunia 2030.
Pengendali berpengalaman itu berkata, fokus utamanya kini adalah membantu Jepun menamatkan kemarau gelaran Piala Asia selepas gagal meraih trofi berkenaan pada edisi terdahulu.
“Sama ada empat tahun, dua tahun, setahun atau enam bulan, pemikiran saya terhadap matlamat tetap sama iaitu Jepun memenangi Piala Dunia menjelang 2050.
“Saya mahu menggabungkan masa lalu, masa kini dan masa depan, sambil membuat pilihan terbaik untuk pasukan pada masa sekarang.
“Ia adalah keseimbangan yang sukar, tetapi saya akan memilih pemain dan membina skuad dengan fokus untuk memenangi Piala Asia kerana saya percaya kejayaan itu akan membantu perkembangan bola sepak Jepun,” katanya.
Moriyasu mula mengendalikan Jepun sejak 2018 dan berjaya membawa pasukan itu ke final Piala Asia 2019 sebelum tewas kepada Qatar.
Pada edisi 2023, Jepun yang merupakan juara empat kali kejohanan itu tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Iran.
Skuad kendaliannya turut mencatat pencapaian pada Piala Dunia lalu apabila mara ke pusingan 32 terbaik sebelum perjalanan mereka berakhir selepas tewas 1-2 kepada Brazil menerusi jaringan lewat permainan.
Jepun akan memulakan kempen Kumpulan F Piala Asia menentang Indonesia pada 11 Januari depan dan Moriyasu berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan Oiwa bagi memastikan kesinambungan pembangunan skuad kebangsaan.
“Kami sudah membawa beberapa pemain daripada skuad Bawah 21 tahun kendalian Oiwa ke pasukan senior sebelum mengembalikan mereka semula ke pasukan beliau.
“Kami akan terus berkomunikasi rapat, tetapi keputusan akhir ketika Piala Asia nanti adalah tanggungjawab saya dan saya akan memikul sepenuhnya tugas menguruskan pasukan sepanjang tempoh saya masih bersama skuad ini,” katanya.
Moriyasu kini menggalas cabaran terakhirnya bersama Jepun dengan misi memburu kejuaraan benua sebelum membuka laluan kepada era baharu di bawah Oiwa menjelang Piala Dunia 2030.
© New Straits Times Press (M) Bhd




