SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) belum bercadang sama ada mahu mengharamkan transaksi e-dagang platform media sosial, TikTok Shop atau tidak seperti yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kementeriannya sedang meneliti pelbagai perkara sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung hal berkenaan.
“Di Indonesia (penutupan TikTok Shop) adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan negara itu. Semestinya keadaan Malaysia adalah berbeza.
“Saya meminta pentadbir TikTok mengambil maklum dengan jelas berhubung perihal penetapan harga, kedaulatan dan perkongsian data seperti yang dibangkitkan Presiden Indonesia, Jokowi Widodo,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Sistem Pengurusan Inventori Autonomi Kecerdasan Buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia, oleh CelcomDigi Bhd dan DHL Supply Chain Malaysia (DHL), hari ini.
Kerajaan Indonesia sebelum ini dilaporkan mengambil keputusan menutup e-dagang platform tersebut kerana tidak mahu ia dicampur aduk dengan transaksi tersebut.
Menurut Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hassan, TikTok harus membina platform e-dagang yang berbeza, seperti Lazada dan Shopee bagi proses jual beli.
Sementara itu, Ahmad Fahmi memaklumkan pihaknya meminta maklumat daripada TikTok Shop dan dan diberitahu akan memperolehinya dalam masa terdekat untuk diteliti supaya pengendali platform tersebut mematuhi undang-undang negara.
“Kepimpinan TikTok akan bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu hadapan untuk mereka lebih mengetahui garis panduan kandungan media sosial di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN




