KKDW lahirkan usahawan bumiputera bukan bersaing seperti Mara Digital

KKDW lahirkan usahawan bumiputera bukan bersaing seperti Mara Digital

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu melahirkan usahawan bumiputera yang bukan sahaja melengkapi tetapi juga memberi sumbangan kepada industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melahirkan usahawan Bumiputera bukan bermaksud semata-mata mahu memberi persaingan kepada bukan Bumiputera seperti yang berlaku dalam pembukaan Mara Digital.

“Dulu kita mahu menyaingi Low Yat dalam penjualan barangan elektronik dan peranti digital. Perkara itu hilang begitu sahaja.

“Menteri datang dan pergi. Jadi kita tidak boleh bangun tidur lepas daripada mimpi nak buat Mara Digital kita buka kompleks, akhirnya tutup, gajah putih. Jangan begitu. Yang penting ialah kita harus compliment, supplement kepada industri yang ada.

“Kita menggalakkan usahawan-usahawa ini untuk membuka premis digital tersebar di seluruh negara, bukan hanya tertumpu pada satu tempat kononnya ini semata-mata untuk orang Melayu, jadi orang lain harus disaingi,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Katanya, pendekatan KKDW melaksanakan program jangka panjang kepada Bumiputera tanpa meminggirkan bukan bumiputera.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberinya tanggungjawab sebagai penyelaras program keusahawanan yang turut melibatkan lapan kementerian.

Beliau berkata demikian dalam program Skop MG mengenai Belanjawan 2024 yang disiarkan di semua platform media sosial MalaysiaGazette.

Ahmad Zahid berkata, melalui belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, KKWD akan menyantuni 8.1 juta atau 24 peratus daripada 32 juta rakyat yang tinggal di luar bandar.

“Kita harus menyantuni penduduk luar bandar bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga Sabah dan Sarawak.

“Mereka harus diberikan keadilan mendapat peruntukan dan merasai bahawa hidup di desa juga harus menikmati kemudahan asas termasuk internet dan rangkaian telefon 5G.

“Anak-anak di kawasan pedalaman juga mempunyai hak untuk mendapat ilmu melalui peranti moden. Ini disantuni oleh KKDW dan kita tidak melakukannya secara silo kita bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian,” katanya.

Belanjawan 2024 juga tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dengan sasaran kemasukan 400 pelajar ke universiti awam selain mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid berkata, Belanjawan 2024 adalah yang terbesar disediakan kerajaan dan ia meliputi semua lapisan masyarakat.

Katanya banyak bantuan yang diberikan kepada rakyat yang tidak ada dalam teks ucapan belanjawan sebaliknya dimasukkan dalam dokumen yang telah disusun dan direncanakan dengan teliti.-MalaysiaGazette