KKM mungkin pertimbang cadangan penandaan ubat bawah Akta 586

KKM mungkin pertimbang cadangan penandaan ubat bawah Akta 586

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkemungkinan mempertimbangkan cadangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk meletakkan penandaan harga ubat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, namun cadangan itu diteliti secara serius dan cermat, sebelum KKM membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.

“Kita mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saya telah mengarahkan kepimpinan tertinggi KKM untuk meneliti kembali bagaimana kita boleh memenuhi permintaan (mereka) dan bersikap adil, jika ia nya boleh kita pertimbangkan untuk letakkan perkara penandaan harga ubat di bawah Akta 586 yang berada di bawah kawalan KKM.

“Saya mahu menunjukkan bahawa kita benar-benar responsif dan dengar apa yang mereka ingin katakan. Kita nak berikan ‘dignity’ kepada profesion pegawai perubatan am yang saya selalu sebutkan antara tulang belakang penting dalam kesihatan awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Institut Kanser Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MMA mencadangkan pindaan dibuat terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi membolehkan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik swasta dibuat mengikut undang-undang berkenaan.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dilaporkan berkata, Menteri Kesihatan boleh menggubal peraturan mengikut Seksyen 107 Akta 586 iaitu undang-undang yang mengawal selia amalan perubatan bagi pelaksanaan dan penguatkuasaannya di klinik swasta.

“Sejak awal lagi, pendirian kami kekal bahawa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) tidak sepatutnya digunakan bagi tujuan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik, sebaliknya Akta 586 adalah akta yang tepat untuk digunakan.

“Tanggapan segelintir pihak bahawa pesakit di klinik adalah setara dengan pelanggan sektor peruncitan lain menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap amalan profesional doktor dan klinik,” katanya.

Bermula 1 Mei 2025, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, semakan berhubung kadar yuran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta dijangka akan dibentangkan ke Kabinet selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

“Jadual Ketujuh (dalam Akta 586) ini saya kira sudah berada di peringkat memorandum Jemaah Menteri, itu adalah keputusan yang akan kita teliti dengan cermat segala permohonan dan permintaan mereka.

“(Sebelum ini) saya sebut hujung Mei, jadi dalam masa dua minggu ini, saya nak perkara ini dapat diselesaikan dan dapat lah kita umumkan dari sudut yuran perundingan Jadual Ketujuh Akta 586,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, KKM memberi jaminan semakan kadar yuran perundingan GP swasta akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan. – UTUSAN

Scroll to Top