KKM siasat dakwaan hospital swasta tahan, beku jasad bayi

KKM siasat dakwaan hospital swasta tahan, beku jasad bayi

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sudah pun memulakan siasatan terhadap dakwaan hospital swasta menahan jasad bayi meninggal dunia selama dua minggu, hanya kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengesahkan perkembangan itu menasihati semua pihak supaya bertenang, memandangkan pihak berwajib sudah dikerahkan untuk menjalankan siasatan.

“Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak-pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama (jalankan siasatan).

“Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.

“Jadi saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Susulan kejadian itu, Dr Dzulkefly sempat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi terbabit sambil berharap semua pihak tidak menyebar cerita yang belum dipastikan kesahihannya.

“Bukan perkara mudah kerana ada dakwaan di sana sini. Jadi saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita membuat apa-apa andaian yang kita kesal kemudian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top