Baru-baru ini tular di media sosial apabila ramai berkongsi pengalaman menunggu terlalu lama di Klinik Ortopedik, Hospital Sungai Buloh.
Tular notis perlu tunggu lama di klinik ortopedik
Perkara itu turut disertakan dengan gambar notis yang menyatakan hanya tiga pegawai perubatan dan seorang pakar perlu mengendalikan 300 pesakit.
“Jumlah pesakit 300 orang, tiga pegawai perubatan dan seorang pakar perubatan,” demikian kandungan notis yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan netizen.
KKM jawab isu perlu tunggu lama di klinik ortopedik
Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberi penjelasan dan meluruskan maklumat berkenaan isu terbabit.
Menurut kenyataan rasmi, pada 30 Jun 2025, seramai 158 pesakit sahaja hadir ke klinik berkenaan, dan rawatan dikendalikan oleh tiga pakar serta tiga pegawai perubatan, mengikut jadual sedia ada.
“Merujuk kepada situasi pada 30 Jun 2025 di Klinik Pakar Ortopedik, Hospital Sungai Buloh, pihak kami telah mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak hospital. Berdasarkan semakan, seramai 158 pesakit hadir pada hari tersebut.
“Klinik dikendalikan oleh tiga pakar dan tiga pegawai perubatan, mengikut jadual dan kapasiti sedia ada,” jelas KKM.
Tambah KKM, jumlah “300 orang” yang disebut itu dipercayai termasuk penjaga dan ahli keluarga yang menemani pesakit, terutamanya kanak-kanak dan warga emas dan ia merupakan sesuatu yang lazim berlaku di fasiliti kesihatan awam.
“Anggaran kehadiran lebih 300 orang seperti yang tular turut merangkumi ahli keluarga atau penjaga pesakit. Ini merupakan amalan biasa di fasiliti kesihatan awam, khususnya bagi pesakit warga emas dan kanak-kanak.
“KKM memahami kesulitan yang dihadapi pesakit dan keluarga, khususnya berkaitan tempoh menunggu.
“Kami juga sedar beban kes di hospital rujukan seperti Hospital Sungai Buloh adalah tinggi, dan usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mempertingkatkan pengurusan aliran pesakit,” tambah kenyataan itu lagi.
Artikel lain: Tauke vape dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital? Firdaus Wong minta penjelasan KKM
Susulan daripada itu, KKM memberi jaminan akan terus berusaha menambah baik sistem sedia ada demi keselesaan dan kecekapan perkhidmatan kepada semua pesakit.