firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurusan baharu Kuala Lumpur City FC (KL City) memberi jaminan kelab itu akan tidak akan lagi berdepan isu tunggakan gaji menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 yang akan membuka tirainya bulan depan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar yang mengakui kelabnya memiliki dana mencukupi untuk mengharungi saingan musim baharu ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berkata, skuad The City Boys berterima kasih kepada ramai pihak yang membantu kelab terutamanya Penaung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil.
“Untuk KL City InsyaAllah, dana dan tajaan banyak yang dah masuk. Saya berterima kasih kepada penanung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil yang banyak membantu saya menjelang musim baru.
“Ya daripada segi bayaran gaji ia stabil, sejak daripada pengurusan baru apabila saya menjadi Presiden (KLFA), tiada lagi masalah tunggakan dan segala-galanya kini berjalan lancar,” katanya.
KL City dilihat antara pasukan pilihan untuk menyerlah sekali gus bakal mencabar Johor Darul Ta’zim (JDT) musim baharu ini.
Dengan limpahan ramai pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Manuel Hidalgo, Adam Norazlin dan ramai lagi, menyaksikan juara Piala Malaysia 2021 itu cukup ampuh musim ini.
Dalam perkembangan sama, Syed Yazid merakamkan penghargaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan RM1 Juta kepada kelab terbabit.
“Ya, saya tidak menjangka dapat sumbangan ini daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita bersyukur, alhamdulilah. Mengenai penggunaan dana ini…kita akan bincang dulu di mesyuarat exco KLFA,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




