
Penjaga Gol Kelantan United FC, Muhamad Ilham Amirullah Razali (kanan) menepis bola pada perlawanan antara Kuala Lumpur City FC menentang Kelantan United FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR City FC (KL City)mengakhiri kemarau kemenangan selepas lima perlawanan apabila menewaskan Kelantan United FC 3-0 pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Anak buah kendalian Nenad Bacina yang dilihat mendominasi perlawanan memecah kebuntuan pada minit ke-21 hasil penyudah Matko Zirdum sebelum Paulo Josue Sturmer dos Reis mencetak jaringan kedua pada minit ke-68.
Pemain gantian, Kipre Tchetche menutup jaringan apabila menanduk masuk bola ke gawang selepas menerima hantaran Sean Giannelli pada minit ke-78.
Kemenangan itu menyaksikan The City Boys melonjak ke tangga ketujuh Liga Super dengan 34 mata untuk mengetepikan PDRM FC menerusi perbezaan gol.



