Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan hampir 49 hektar ruang rekreasi dan taman awam baharu di sekitar ibu kota, selari dengan komitmen mempertingkatkan jaringan kawasan hijau serta kemudahan riadah warga kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif strategik itu merangkumi prapembangunan dan pemanfaatan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Bunus serta Kolam Ayer Panas.
Selain itu, katanya, pembangunan turut melibatkan kawasan kolam bersebelahan Jalan Tasik Permaisuri 3 serta projek berfasa di Kolam Takungan Kampung Sungai Bohol.
“Matlamat utama kita di bawah inisiatif ini bukan sekadar mewujudkan ruang rekreasi baharu, tetapi memastikan setiap kawasan lapang dan hijau yang bernilai tinggi di Kuala Lumpur diwartakan secara sah untuk dilindungi,” katanya selepas meninjau Kolam Takungan Banjir Bunus di sini hari ini.
Beliau berkata kawasan berkenaan akan dilengkapi infrastruktur asas seperti trek joging dan pencahayaan yang mesra semua peringkat umur, terutamanya warga emas dan kanak-kanak, selain memperketat kawalan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pencerobohan atau aktiviti komersial yang tidak dibenarkan.
Hannah berkata menerusi usaha berterusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), sebanyak 556 lot kawasan lapang kini berjaya diwartakan, manakala lebih 200 lot lagi sedang dalam fasa pemprosesan akhir pewartaan.
Katanya, ketelusan pewartaan itu membolehkan warga kota menyemak sendiri senarai tanah lapang yang dilindungi menerusi aplikasi MyHijau di portal rasmi PPTGWP.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata DBKL memperuntukkan lebih RM200 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi kluster hijau merangkumi pengurusan, pemeliharaan dan penambahbaikan fasiliti awam secara menyeluruh.
Beliau berkata DBKL turut mengemukakan permohonan menerusi pendekatan geran padanan kepada Kementerian Kewangan bagi mereformasi 14 taman permainan kanak-kanak kejiranan untuk dinaik taraf kepada reka bentuk yang lebih selamat dan moden.
© New Straits Times Press (M) Bhd

