Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) terus memperjuangkan usaha menjadikan Arena Badminton Cheras sebagai ‘rumah’ tetap mereka selepas empat tahun rundingan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak menemui penyelesaian.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, KLBA akan mengatur pertemuan dengan Datuk Bandar baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud yang menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, bagi mencari titik penyelesaian terhadap isu yang disifatkan sudah berlanjutan terlalu lama.
“Kami sudah hampir empat tahun tidak mempunyai ‘rumah’ sendiri. Perjuangan mendapatkan venue tetap ini bukan perkara baharu dan kami berharap Datuk Bandar baharu memahami mengapa isu ini penting buat kami,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan KLBA, hari ini.
Menurut Jahaberdeen, Arena Badminton Cheras pada awalnya difahamkan akan diperuntukkan kepada KLBA selepas mereka mengosongkan Stadium Badminton Kuala Lumpur yang dirobohkan untuk pembangunan semula, selain menerima pampasan bulanan sebagai sokongan sepanjang tempoh perpindahan.
“Secara logiknya, apabila menerima pampasan, kita menjangkakan apabila venue baharu siap, kita boleh berpindah masuk.
“Kami bukan meminta keseluruhan bangunan, hanya aras yang menempatkan gelanggang dan dewan badminton,” katanya.
Beliau menegaskan, ketiadaan pangkalan tetap menjejaskan program pembangunan KLBA termasuk latihan konsisten dan peluang menjana pendapatan.
“Kami ada banyak program tetapi tiada tempat. Jika ada venue tetap, kami boleh jalankan latihan, malah membuka kedai sukan… semua ini bantu kelangsungan KLBA,” katanya.
KLBA juga sudah menyiapkan surat rasmi dan merancang menyerahkannya dalam tempoh dua minggu bagi memohon kunjungan hormat untuk memberi taklimat kepada Datuk Bandar baharu mengenai permohonan yang tertangguh sejak sekian lama.
“Di negeri lain, setiap persatuan badminton ada tempat sendiri. Bayangkan… ini Kuala Lumpur, tetapi persatuan badmintonnya masih tiada rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




