firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sedia menjadi ‘kilang pengeksport’ pemain muda berbakat kelahiran Kuala Lumpur ke serata negara, malah ke luar negara untuk 10 tahun mendatang.
Ia selaras dengan usaha terbaharu KLFA apabila menubuhkan Akademi Bolasepak KLFA di bawah kendalian Pengarah Teknikalnya, Sulaiman Hussin, barisan kejurulatihan akademi itu dan Setiausaha Agung KLFA, Datuk Kamarudin Hassan yang diberi kepercayaan memantau akademi dan pembangunan.
Bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar menegaskan badan induk itu cukup serius memperkukuhkan aspek pembangunan yang bakal memberi 1000 manfaat kepada bola sepak Kuala Lumpur serta negara suatu hari nanti.
Kata Syed Yazid, akademi ini bukan saja memberi peluang kepada kanak-kanak seawal usia lapan tahun mendapat latihan yang betul, malah ia sebenarnya melengkapkan ekosistem bola sepak di Kuala Lumpur dari skuad utama di Liga Malaysia, pasukan bawah 23, pasukan wanita dan remaja.
“Ini salah satu perancangan KLFA di mana kita mahu perhebatkan aspek pembangunan dari akar umbi. Di Kuala Lumpur ini ramai kanak-kanak dari bangsa Melayu, Cina dan India sertai dan ini menunjukkan kita ada banyak bakat yang boleh diketengahkan.
“Saya percaya KLFA boleh lahirkan ramai pemain terbaik dan mana tahu dari Kuala Lumpur nanti kita akan eksport ramai pemain ke seluruh negara,” katanya.
Untuk rekod, seramai 160 pelatih berjaya dikesan daripada sesi pemilihan terbuka yang diadakan pada 30 Ogos lalu dengan pemain terpilih dipecahkan kepada lima kategori usia bermula bawah 8 tahun (B-8), B-10, B12, B-14 dan B-16.
Kesemua pelatih mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berkelayakan yang memiliki sijil bermula dari Lesen Pembangunan hingga Lesen Diploma B AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
Sementara itu, menurut Sulaiman, kesemua pelatih akan menjalani latihan dua kali seminggu serta akan bertanding dalam beberapa kejohanan terpilih dalam setiap tiga bulan untuk melihat kefahaman mereka tentang latihan yang diajar di akademi dalam perlawanan sebenar.
“Kesemua pemain akan menerima baju latihan tidak lama lagi dan kita sebenarnya bersedia untuk memikul tanggungjawab membentuk generasi baharu.
“Di KLFA, kita bukan saja nak lahirkan pemain bola sepak tetapi saya juga tekankan soal pembentukan individu. Saya mahu setiap pelatih hormat orang lain, berdisiplin, semangat yang kuat dan lain-lain,” kata bekas jurulatih UKM FC dan penolong jurulatih Kuching City FC itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




