KLIA sediakan kawasan rehat untuk penumpang terjejas susulan penutupan lapangan terbang Jakarta

Putrajaya: Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menyarankan supaya penumpang yang melakukan perjalanan ke Jakarta melalui penerbangan yang terjejas menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat jadual terkini susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Penutupan itu berikutan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang berkenaan, menurut nasihat perjalanan yang dikeluarkan KLIA.

Menerusi kemas kini dalam media sosial, KLIA menyediakan beberapa kawasan rehat untuk penumpang terjejas sambil menunggu maklumat lanjut berhubung penerbangan mereka.

“Di Terminal 1, kawasan rehat yang disediakan adalah di Anjung Tinjau, Aras 5 Bangunan Terminal Utama, Kawasan CRS, Aras 3 Bangunan Terminal Utama, dan Pintu C36, Aras Mezanin Bangunan Satelit.

“Di Terminal 2 pula, kawasan rehat terletak di Aras 3A (Aras Mezanin), Balai Pelepasan,” menurut KLIA.

Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dengan Sumatera terus meletus pada Sabtu, dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava berserta gegaran dan bunyi dentuman kedengaran dari pos pemerhatian.

Letusan bermula pada 11.07 malam waktu Indonesia pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi Sabtu.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia memaklumkan bahawa gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau Siaga (amaran), dengan pihak berkuasa mengekalkan zon larangan sejauh tiga kilometer di sekitar kawah aktifnya.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula masih agak kecil dan tidak dianggap mampu mengalami runtuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top