Perang boleh merebak hingga ke bulan?

Beijing: Peperangan masa depan mungkin tidak lagi terbatas di Bumi apabila penyelidik aeroangkasa China meneroka kemungkinan konflik merebak ke ruang luas antara Bumi dan Bulan, lapor South China Morning Post.

Kajian berkenaan mendedahkan konflik di ruang cislunar itu boleh menyaksikan kapal angkasa pihak yang bertelagah saling mengejar dan mengelak selain cuba menembusi pertahanan serta menguasai laluan strategik.

Kapal angkasa juga boleh bersembunyi dalam persekitaran graviti kompleks di sekitar Bulan menyebabkan trajektorinya sukar diramal sebelum muncul semula dan bergerak menuju sasaran yang lebih dekat dengan Bumi apabila diperlukan, menurut pasukan penyelidik dari Universiti Politeknik Barat Laut di Xian.

Kapal itu juga boleh ditempatkan berhampiran ‘titik tumpuan’ atau kawasan pertemuan laluan penting atau laluan yang menggunakan tenaga paling cekap

Kedudukan strategik itu membolehkan kapal berkenaan bersedia memintas pesaing dan berpotensi memaksa mereka mengambil laluan yang lebih sukar atau kurang cekap, menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Command and Control berbahasa China pada Julai.

Keupayaan sedemikian berpotensi memberi kesan besar tanpa berlaku sebarang pertempuran secara langsung.

“Tanpa menggunakan kekerasan secara langsung, sesebuah negara boleh memaksa pihak lawan mengubah laluan, menangguhkan misi, melepaskan peluang pelancaran atau menanggung kos yang lebih tinggi,” kata Dang Zhaohui, penulis utama kajian dan Profesor Madya di Sekolah Astronautik Universiti Politeknik Barat Laut.

Beliau berkata, perkara yang dipertaruhkan dalam persaingan orbit cislunar bukan sekadar penguasaan terhada sesebuah kapal angkasa, orbit atau laluan tertentu sebaliknya keupayaan untuk mengakses, mengawal dan menggunakan ruang angkasa selain menghalang pihak lawan daripada beroperasi secara bebas.

Ruang cislunar ialah kawasan luas antara Bumi dan Bulan yang dipengaruhi tarikan gravity kedua-dua jasad cakerawala itu sekali gus menjadikan pergerakan kapal angkasa jauh lebih kompleks berbanding satelit yang mengorbit Bumi.

Memandangkan peperangan moden semakin bergantung pada teknologi dan asset berasaskan angkasa lepas, konflik yang tercetus di Bumi berpotensi merebak ke kawasan ini apabila negara berusaha melindungi aset masing-masing selain menyekat kebebasan pihak lawan untuk beroperasi.

Penulis kajian mengklafikasikan kemungkinan konflik di ruang cislunar kepada enam kategori termasuk pengejaran dan pengelakan, serangan dan pertahanan, sekatan dan tindak balas terhadap sekatan serta penyamaran dan pengenalpastian.

Bagaimanapun, penyelidik memberi amaran bahawa situasi sebenar mungkin jauh lebih rumit kerana model sedia ada mengandaikan kapal angkasa boleh dijejaki dengan tepat dan boleh dipercayai.

Dalam konflik sebenar, persaingan mungkin lebih tertumpu kepada usaha mengelirukan pihak lawan dan mengesan helah mereka berbanding sekadar menggerakkan kapal angkasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top