Klopp perlu 'karya agung' selamatkan Liverpool

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia memerlukan “karya agung” bagi mencari penyelesaian krisis dihadapi kelabnya selepas mencatat kekalahan keenam berturut-turut di laman sendiri berdepan pasukan diancam penyingkiran, Fulham 1-0 di Anfield malam tadi.

Juara England itu merudum sejak mendahului Liga Perdana ketika Krismas dan tampak semakin sukar untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Liverpool kini berkedudukan ketujuh liga, empat mata di belakang kelompok empat teratas dan bermain lebih satu perlawanan berbanding semua pencabar utama ke Liga Juara-Juara.

Krisis kecederaan memainkan peranan utama terutama masalah dihadapi pertahanan tengah Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Bagaimanapun Klopp juga menjadi tumpuan kerana keputusannya membuat tujuh perubahan daripada skuad yang tewas 1-0 kepada Chelsea yang tidak membantu menambah keyakinan pasukan.

“Kami tidak mendapat rentak musim ini,” kata Klopp.

“Anda boleh lihat ia masih ada pada pemain. Mereka masih memilikinya tetapi buat masa ini ia tidak dapat ditunjukkan. Ia memerlukan karya agung untuk mencari penyelesaian segera.”

Peluang terbaik Liverpool kembali ke Liga Juara-Juara mungkin dengan memenangi kejohanan itu buat kali ketujuh.

Skuad Klopp akan ke Budapest bagi perlawanan kedua kelompok 16 terakhir berdepan Leipzig awal pagi Khamis ini selepas mendahului 2-0 pada perlawanan pertama. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top