Kluster baru COVID-19 dikesan di hospital di Singapura

Kluster baru COVID-19 dikesan di hospital di Singapura

SINGAPURA: Republik ini mengesan kluster baharu COVID-19 di salah sebuah hospital terbesar di pulau itu yang merekodkan 16 jangkitan baru, menjadikannya kes domestik tertinggi dalam tujuh bulan.

Singapura berjaya mengawal penyebaran wabak COVID-9 berikutan penularan besar-besaran pandemik di asrama pekerja asing tahun lalu.

Sebilangan besar kes yang direkodkan membabitkan kes import dan dikesan ketika kuarantin.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, lapan kes yang diumumkan lewat semalam dikaitkan dengan jangkitan di Hospital Tan Tock Seng.

Kes jangkitan di hospital itu membabitkan doktor dan jururawat yang sudah diberi vaksin untuk COVID-19, yang kini diasingkan pihak berkuasa di dua dewan khas di hospital itu untuk menguji kakitangan serta pesakit.

Pada masa sama, kuarantin ditingkatkan dan pergerakan dihadkan selepas kluster itu, yang pertama seumpamanya di sebuah hospital negara itu, dikesan.

Kes tempatan yang lain yang dilaporkan semalam dikaitkan dengan lapan pegawai imigresen di lapangan terbang.

Republik itu melaporkan lebih 61,000 kes direkodkan sejak wabak itu melanda tahun lalu, sebahagian besar membabitkan jangkitan di asrama pekerja asing, di mana 30 kematian dicatatkan.

Kes jangkitan baru muncul ketika Singapura bersiap sedia membangunkan gelembung perjalanan dengan Hong Kong yang akan dilancarkan pada bulan depan selepas pelaksanaannya digantung tahun lalu.

Singapura melancarkan program vaksinasi melalui suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan vaksin berkenaan tidak menyebabkan kesan sampingan membabit sebilangan penerima, tetapi ada yang masih boleh dijangkiti walaupun sudah disuntik.

Kebimbangan semakin meningkat terhadap varian baru virus dan keberkesanan vaksin yang sedia ada. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top