CYBERJAYA: Syarikat Starlink berhasrat untuk melaksanakan percubaan teknologi Direct-to-Device (D2D) atau Direct-to-Cell (D2C) di Malaysia yang berpotensi membolehkan capaian Internet disalurkan terus ke telefon bimbit melalui satelit di kawasan tertentu tanpa bergantung kepada menara komunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi berkenaan merupakan satu anjakan signifikan sekiranya ia dapat dilaksanakan, khususnya bagi kawasan yang tidak mempunyai menara komunikasi atau mempunyai kepadatan penduduk rendah.
Menurut beliau, wakil Starlink telah mengadakan pertemuan dengannya beberapa hari lalu bagi memaklumkan hasrat syarikat itu untuk mencuba perkhidmatan berkenaan melalui pendekatan percubaan di Malaysia.
“Saya sudah minta supaya pasukan di MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menjemput syarikat telco untuk duduk bersama dengan syarikat seperti Starlink untuk lihat masa depan yang lebih terhubung, yang tidak semestinya bergantung harap kepada infrastruktur seperti yang sedia ada.
“Ini merupakan satu anjakan yang agak signifikan dan besar sekiranya kita teruskan, kerana ia bermaksud bagi kawasan-kawasan tertentu yang tidak ada menara, yang mungkin capaian kawasan penduduknya kurang, namun kita boleh sediakan Internet melalui satelit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Lembaga Lebuhraya Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, teknologi D2D atau D2C juga boleh menjadi pilihan lebih kos efektif di kawasan tertentu yang tidak sesuai untuk dibangunkan menara komunikasi baharu.
Jelasnya, pemasangan sebuah menara baharu boleh mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan sekiranya semua isu berkaitan tanah dapat diuruskan dengan segera. – UTUSAN




