London: Pengurus Belanda Ronald Koeman berkata Steven Bergwijn lebih mengutamakan wang daripada masa depan kariernya selepas pemain itu melengkapkan perpindahan bernilai €25 juta (RM120 juta) ke kelab Liga Pro Saudi Al Ittihad.
Perpindahan Bergwijn dari Ajax ke Al Ittihad diumumkan kemarin sekali gus mencetuskan kemarahan Koeman yang tidak akan menimbangkan penyerang itu untuk aksi antarabangsa Belanda.
Menurutnya, perpindahan Bergwijn berbeza dengan kes Georginio Wijnaldum yang meninggalkan PSG untuk ke Al Ettifaq pada September 2023.
“Georginio Wijnaldum berpindah kerana mempunyai masalah di Paris Saint-Germain,” kata Koeman. “Dia mungkin ke sana untuk bermain bola sepak sehingga Januari. Dalam kes Bergwijn, dia berpindah pada usia 26 tahun. Saya fikir pada usia itu, cita-cita utama adalah karier lebih gemilang berbanding wang tetapi pilihan akhirnya di tangan pemain.”
Bergwijn akan beraksi di bawah kendalian Laurent Blanc di Arab Saudi yang turut diperkuartkan N’Golo Kanté, Karim Benzema, Fabinho, Houssem Aouar, Predrag Rajkovic dan Moussa Diaby.
Perpindahan itu tampak menyempitkan peluang untuk Bergwijn untuk menambah jumlah 35 kapnya bersama Belanda.
“Buku secara asasnya sudah tertutup untuknya,” kata Koeman mengenai peluang Bergwijn di peringkat antarabangsa. “Dia tidak menghubungi saya mengenai perpindahannya. Saya fikir dia tahu cara saya berfikir mengenainya.”
Belanda akan menentang Bosnia di tempat sendiri Ahad ini sebelum berdepan misi lebih getir apabila melayan kunjungan Jerman pada Rabu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




