Kokain dalam kasut, lelaki ditahan di Hong Kong disyaki ada kaitan kes tangkapan di Brickfields

Kokain dalam kasut, lelaki ditahan di Hong Kong disyaki ada kaitan kes tangkapan di Brickfields

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki warga Hong Kong yang ditahan bersama satu kilogram kokain di lapangan terbang negara itu pada Rabu lalu disyaki mempunyai kaitan dengan seorang suspek ditahan polis di Brickfields, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak berkuasa Hong Kong sudah memaklumkan berhubung penahanan seorang warganegaranya bersama dadah disyaki dari Malaysia.

“Mereka ada berkongsi butiran berhubung tangkapan itu.

“Kokain terbabit dipercayai bukan berasal dari Malaysia sebaliknya negara ini dijadikan sebagai transit sebelum diseludup ke negara lain melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak polis percaya tangkapan terbaharu oleh pihak berkuasa Hong Kong itu mempunyai kaitan dengan suspek juga warga Hong Kong yang ditahan di Brickfields pada 5 November lalu kerana disyaki menjadi dalang sindiket berkenaan di Malaysia.

Katanya, ia berdasarkan modus operandi dan jenis dadah yang sama malah destinasi penghantaran juga hampir sama iaitu Hong Kong, Jepun dan Indonesia.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas dikesan cuba menyeludup kira-kira satu kilogram dadah kokain yang disorokkan di dalam kasut dipakai.

Kastam Hong Kong dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan kastam terhadap penumpang yang baru tiba Rabu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top