Tafsiran terbaik harus dibuat oleh mahkamah – Saifuddin

Tafsiran terbaik harus dibuat oleh mahkamah – Saifuddin

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan tafsiran undang-undang berhubung perbezaan pandangan mengenai pelaksanaan perintah tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya merujuk perkara itu kepada Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan susulan perbezaan tafsiran berhubung arahan yang dikeluarkan pendaftar mahkamah selepas pembayaran dibuat oleh pihak Najib.

“Apa yang kita buat adalah kita merujuk untuk mendapatkan pandangan Peguam Negara, supaya ada clarity (kepastian) dari segi pelaksanaanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, seperti yang kita sedia maklum, ada satu pandangan undang-undang diberikan oleh Peguam Negara, kemudian ada respon balas daripada Peguam Datuk Seri Najib.

“Kalau ada perbezaan begitu, seperti mana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat oleh mahkamah,” katanya pada sidang akhbar Program Semarak Kebudayaan PDRM Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah Najib wajar ditangguhkan berikutan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran frasa ‘menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta’ serta kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

Susulan pendirian itu, Najib yang sudah melunaskan denda RM50 juta, semalam sebagai syarat menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, masih kekal di Penjara Kajang setakat ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, KDN tertakluk kepada nasihat perundangan Peguam Negara selaku penasihat undang-undang kerajaan, manakala Jabatan Penjara akan melaksanakan apa juga keputusan berkaitan perintah itu kelak.

“Datuk Seri Najib berhak mengemukakan pengampunan dan mengikut Perlembagaan Persekutuan pula, kuasa itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Bahagian kami adalah melaksanakannya sesuai dengan acuan dan tertib undang-undang.

“Jadi, di peringkat kami, kami telah melakukan semua perkara untuk melaksanakan apa juga keputusan, baik di peringkat Lembaga Pengampunan ataupun di peringkat arahan mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top