Kuala Lumpur: Empat penuntut Kolej MARA Kulim mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dan perak di International Exhibition Inventions 2026 (IEI 2026) yang berlangsung di Guangzhou, China, baru-baru ini.
Dua daripada mereka, Ahmad Ziyad Nawawi, 18; dan Carliff Akmal Azam, 18; berjaya memenangi pingat emas dengan rekaan diberi nama A-Peel Ecofizz.
Ahmad Ziyad yang juga penuntut matrikulasi Sains Hayat berkata, ia adalah pembuatan ejen pencuci mesra alam dan mesra pengguna yang dibuat daripada kulit buah lerak dan kulit buah-buahan seperti pisang dan oren.
“Bahan semula jadi yang sedia ada dalam kulit buah terbabit membantu menanggalkan kotoran serta minyak di fabrik, menghasilkan buih stabil dan berpotensi mengawal bakteria,” katanya.
Menurutnya, produk ini juga mudah digunakan, mesra alam dan mengubah sisa pertanian menjadi bahan pencuci bernilai tinggi.
Selain itu, reka cipta dikenali sebagai KombuCraft yang dihasilkan Muhammad Shahmi Farish Shuaimi, 18; dan Muhammad Ammar Ikhwan Mohamad Aswad, 18; berjaya membawa pulang pingat perak.
Muhammad Shahmi berkata, ia adalah ciptaan yang memanfaatkan SCOBY (Kultur Simbiotik Bakteria dan Yis), iaitu hasil sampingan daripada fermentasi teh kombucha.
“Produk reka cipta bio-kulit ini tidak mudah terbakar, kalis air serta fleksibel berpotensi diaplikasikan dalam pelbagai produk pakaian dan perlindungan kebakaran.
“Reka cipta ini juga memberi nilai baharu kepada bahan buangan sambil meneroka alternatif mesra alam kepada bahan konvensional,” kata penuntut matrikulasi Sains Hayat itu.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan teknikal serta komitmen Kolej MARA Kulim dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berfikiran kreatif, inovatif dan lestari.
Pencapaian ini turut mencerminkan sokongan berterusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya Bahagian Pendidikan Tinggi MARA dalam memperkasa pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat pelajar Bumiputera agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Penyertaan Kolej MARA Kulim ke acara itu diurus dan dibimbing oleh Wan Global Invention & Innovation Enterprise dengan sokongan dan dorongan MARA dalam memperluas peluang pelajar mengetengahkan hasil inovasi ke pentas global.
© New Straits Times Press (M) Bhd

