Kolej Vokasional Butterworth diarah tutup ekoran Covid-19 – Utusan Digital

GEORGETOWN: Kolej Vokasional Butterworth di Teluk Air Tawar dekat sini, diarahkan tutup Sabtu lalu bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, bagaimanapun situasi terkini jangkitan di kolej berkenaan adalah terkawal.

“Setakat ini 36 individu dikesan positif Covid-19 di situ dan Kementerian Kesihatan mengarahkan ia ditutup Sabtu lalu,” katanya di dalam sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sesi libat urus berkenaan berlangsung selama dua hari yang mana setiap Exco mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar serta projek di bawah portfolio masing-masing.

Menurut Norlela, selain kolej berkenaan terdapat satu lagi kluster membabitkan sebuah sekolah iaitu di Bukit Tambun yang mana 16 individu dikesan positif Covid-19.

Jelasnya, kluster Bukit Tambun itu dikesan pada 21 Mac lalu dan Kementerian Kesihatan telah menjalankan isolasi bagi mengawal jangkitan.

“Selain kluster membabitkan institusi pendidikan, terdapat kluster Covid-19 yang dikesan membabitkan depoh imigresen di Juru, kluster industri dan kluster penjara reman,” katanya.

Sementara itu Norlela menambah, kerajaan negeri memperoleh lebih 2,000 dos vaksin Covid-19 untuk dibekalkan kepada guru-guru di negeri ini semasa fasa pertama pemberian vaksin dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE