Komando wanita tunggal Britain meninggal dunia

Komando wanita tunggal Britain meninggal dunia

London: Tentera Laut Diraja Britain pada Khamis menamakan seorang komando wanita tunggal yang sedang berkhidmat di negara itu, antara tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan helikopter.

Lily-Mae Fisher, 31, maut apabila sebuah helikopter Merlin Mk4 terhempas semasa latihan rutin di barat daya England.

Menurut kenyataan Tentera Laut Diraja Britain, Fisher ialah “satu-satunya komando wanita Tentera Laut Diraja Britain yang sedang berkhidmat”.

Pegawai itu menamatkan latihan ketenteraan yang sangat mencabar termasuk perarakan sejauh 50 kilometer sebelum berjaya bergelar komando beret hijau pada 2022.

BBC melaporkan tahun lalu bahawa hanya tujuh wanita berjaya menamatkan Kursus Komando Semua Senjata sejak 2001 termasuk Fisher, manakala 17 individu pernah mencuba kursus berkenaan.

Leftenan itu terkorban ketika penilaian akhir latihan penerbangan dan dijadualkan layak sebagai juruterbang helikopter pada bulan ini.

Dia maut bersama dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Britain.

Fisher mempunyai akaun Instagram dengan lebih 45,000 pengikut di mana dia sering berkongsi pengalaman berkaitan cabaran wanita dalam ketenteraan termasuk isu menguruskan haid ketika bertugas di lapangan.

“Dia menjadi inspirasi kepada orang ramai terutamanya wanita muda bagi menggalakkan mereka mencapai impian mereka,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top