Pelakon dan penyanyi Isyariana mengaku sudah memasang niat untuk memakai hijab sejak tahun 2018 lagi.
Katanya ketika ditemui XTRA, dia bagaimanapun terpaksa menangguhkan niatnya itu kerana terikat dengan komitmen kerja.
“Sebenarnya dari tahun 2018lagi saya dah berniat.
“Tapi, disebabkan terikat dengan komitmen kerja dan watak yang ditawarkan juga tidak sesuai dengan imej bertudung,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Andai Tiada Dia ini mendedahkan, dia pernah menerima tawaran namun ditarik semula gara-gara imejnya kini yang sudah bertudung.
“Sebenarnya, ada pengarah yang tawarkan kepada saya selepas habis penggambaran Bukan Sekadar Lafaz 2 tapi stesen televisyen tak mahu kerana watak antagonis itu dikatakan tidak bersesuaian dengan imej bertudung.
“Tapi, lepasni kalau ada watak antagonis apa salahnya saya bawa karakter itu kerana Ummi Nazeera juga mampu,” jelasnya.
Mengaku masih bergelut untuk kekal istiqamah, Isyariana juga memohon agar peminat dan orang ramai di luar sana sentaisa mendoakannya.
“Untuk kekal istiqamah bukan mudah. Bial saya rasa diri saya ‘goyang’ saya kaan baca balik kisah mengenai perjuangan Nabi kita termasuklah membaca surah-surah,” kongsinya.
Terdahulu, pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-33 itu, mencuri perhatian selepas tampil dengan imej baharunya itu sebaik sahaja pulang dari mengerjakan umrah pada Mac lalu.