Kompany bakal ganti Guardiola?

Kompany bakal ganti Guardiola?

London: Vincent Kompany masih dilihat sebagai calon utama untuk menggantikan Pep Guardiola di Manchester City, menurut sumber TEAMtalk.

Pengendali Bayern Munich itu menyaksikan pasukannya tewas 1-3 kepada Arsenal semalam, namun pendekatan keseluruhannya dalam bola sepak dianggap sehaluan dengan hala tuju evolusi Manchester City.

Terdapat spekulasi bahawa Guardiola mungkin meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, namun secara umum beliau dijangka kekal sehingga 2027 apabila kontraknya tamat.

Waktu akan menjadi faktor penting dalam usaha mencari pengganti, terutama jika City mahu mendapatkan Kompany, yang kini semakin menyerlah di Jerman. Kontraknya bersama Bayern hanya akan tamat pada 2029.

Kompany menandatangani lanjutan kontrak bulan lalu, namun bekas kapten Manchester City itu masih sangat dihormati di kelab lamanya, kata sumber, dan beliau akan berada dalam senarai teratas calon jika berminat dengan jawatan berkenaan.

City sedang memantau prestasinya dalam perlawanan besar serta gaya permainan yang diterapkan, dan setakat ini mereka selesa dengan cara beliau selaku jurulatih.

Mereka faham Kompany kini memberi tumpuan penuh kepada tugasnya di Bayern, tetapi berharap beliau akan mempertimbangkan peluang kembali ke Manchester apabila Guardiola meninggalkan kelab itu.

Guardiola sendiri amat mengagumi gaya kepimpinan Kompany, malah pernah mencadangkannya kepada bekas kelabnya, Bayern, sebelum Kompany berpindah ke Munich dari Burnley.

Pengendali berusia 39 tahun itu membimbing Bayern menjuarai Bundesliga musim lalu, selepas musim 2023/24 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Bayer Leverkusen.

Musim ini, gergasi Bavaria itu masih belum tewas dalam liga, memenangi 10 perlawanan dan seri satu, sekali gus berada enam mata di hadapan selaku pendahulu.

Sebilangan pihak menganggap Kompany sebagai jurulatih Bayern selepas meninggalkan Burnley sebagai satu risiko, namun kejayaannya di Jerman membuktikan kelab membuat keputusan tepat.

Apabila Guardiola memutuskan untuk meninggalkan Manchester City, Kompany adalah individu yang benar-benar perlu diberi perhatian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top