Kon Yeow nafi lepas tangan isu pembinaan asrama warga asing

Kon Yeow nafi lepas tangan isu pembinaan asrama warga asing

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan pihaknya mengambil sikap lepas tangan dalam isu pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar dekat sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendirian kerajaan negeri adalah mematuhi lunas undang-undang sedia ada yang mana tidak boleh melarang pemilik tanah mengemukakan sebarang permohonan merancang.

“Kita kena terima permohonan daripada tuan tanah sebelum permohonan itu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa perancangan bandar iaitu Majlis Bandaraya Pulah Pinang (MBPP).

“Proses itu dilakukan mengikut undang-undang serta garis panduan sedia ada. Ini kerana meskipun sesuatu projek itu diluluskan ia perlu mematuhi pelbagai syarat sebelum projek mula dilaksanakan.

Kon Yeow (dua dari kanan) menerima resolusi yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh.

“Jadi dakwaan (kerajaan negeri lepas tangan) tidak betul sebab permohonan sedang ditimbangkan oleh satu agensi kerajaan negeri iaitu MBPP,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Komtar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan Jawatankuasa Bertindak Bantahan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar yang kecewa tiada maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung status projek tersebut.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan bersama Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing, Kon Yeow berkata, rata-rata penduduk tidak menentang konsep pembinaan asrama pekerja asing sebaliknya mereka hanya tidak setuju lokasi pembinaan dilaksanakan di Teluk Kumbar.

“Jadi setelah mengadakan perbincangan perkara ini (pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar) diserahkan kepada pihak pencadang atau pemaju serta jawatankuasa bantahan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi pihak masing-masing.

“Bagi pihak kerajaan negeri pula, walaupun mereka (pemaju) telah kemukakan permohonan kebenaran merancang kita masih pertimbangkan dan belum meluluskannya.

“Manakala bagi satu lagi projek sama di lokasi berhampiran yang sudah ada kebenaran merancang pula, ia memerlukan beberapa pemaju mematuhi beberapa syarat selain projek itu belum mula pelaksanaannya,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow tidak menolak kemungkinan kategori baharu iaitu asrama pekerja asing akan dimasukkan dalam pelan tindakan perancangan masa depan Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN

Masih tiada jawapan dari Kerajaan P.Pinang isu asrama warga asing

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar di sini, meluahkan rasa kecewa terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas didakwa gagal memberikan kata putus berhubung pendirian mereka terhadap projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar, Prof Datuk Dr Muhammad Idiris Saleh mendakwa, kerajaan negeri seolah-olah lepas tangan apabila meminta pemaju asrama warga asing itu berunding terus dengan penduduk. – MalaysiaGazette

Scroll to Top