am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan anggota Battalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang menyertai misi pengaman di Lubnan, ketika negara itu kini berdepan situasi konflik.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini semua 500 anggota sentiasa mematuhi SOP keselamatan ditetapkan sepanjang menjalankan tugas meskipun penugasan MALBATT kali ini adalah tahun terakhir berkhidmat di negara itu.
“Walaupun kita tahu di selatan Lubnan dan juga di Lubnan sendiri kini sudah memasuki kancah peperangan, namun buat masa ini anggota kita masih selamat.
“Jika mengikut laporan semasa, anggota kita berada dalam keadaan selamat dan kita mempunyai SOP bagi memastikan keselamatan mereka kerana kita tidak terlibat dengan peperangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama pekerja pembersihan dan pengamal media di Dewan Kompleks JAPERUN Durian Tunggal, di sini, malam tadi.
Pada majlis itu lebih 100 petugas pembersihan dan juga pengamal media dariapada pelbagai agensi menerima sumbangan sempena Aidilfitri.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, penugasan utama anggota MALBATT di Lubnan adalah menjaga keamanan selain membantu penduduk tempatan serta pelarian yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
Menurutnya, mereka berada di negara itu bukan untuk terbabit dalam peperangan, sebaliknya melaksanakan misi keamanan di samping menyalurkan bantuan kepada masyarakat dan pelarian yang memerlukan.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam misi itu dilaksanakan di bawah mandat UPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara ini sentiasa komited menyokong usaha keamanan di peringkat antarabangsa.
“Sekiranya misi tersebut ingin diteruskan pada masa hadapan, ia memerlukan mandat baharu daripada PBB,” katanya.
Adly berkata Malaysia sentiasa bersedia memberi kerjasama dalam sebarang bentuk misi keamanan jika diperlukan oleh PBB, bukan sahaja di Lubnan tetapi di mana-mana negara yang memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




