Konflik Sudan antara isu ditegas Malaysia-Turkiye

Konflik Sudan antara isu ditegas Malaysia-Turkiye

PETALING JAYA: Konflik di Sudan akibat pertempuran antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) antara isu yang disentuh antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya itu untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri selain menegaskan pelbagai perkara.

Kata beliau, dalam perbualan itu, mereka turut menegaskan isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

“Termasuk perkembangan krisis politik di Tunisia, selain perkembangan terkini mengenai pergolakan di Sudan,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Konflik di Sudan yang dilaporkan berpunca daripada perang saudara itu meletus semula di ibu kota dan bandar-bandar besar dengan krisis bermula apabila pihak tentera nasional menuduh RSF melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa Turkiye kini sedang dalam proses untuk menghadapi pilihan raya.

“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Republik Turkiye dan memperkukuh hubungan antara kedua negara sahabat,” katanya. – UTUSAN