Jakarta: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya memfokuskan kepada penyelesaian berkaitan konflik Thailand dan Kemboja bagi memastikan rantau Asean kekal stabil dan aman.
“Saya fokuskan kepada penyelesaian, itu yang saya sampaikan kepada China dan Amerika Syarikat.
“Saya buat panggilan (kepada) kedua-duanya (Perdana Menteri Kemboja dan Thailand) pada hari itu (24 Julai 2025) dan berlaku gencatan senjata.
“(Mereka) memerlukan waktu untuk tentera (berundur), namun keesokannya (25 Julai), berlaku lagi (konflik),” kata Anwar pada pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) serta pemimpin redaksi (pemred@ketua-ketua pengarang) Indonesia, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas pelbagai spekulasi kononnya gencatan senjata itu berlaku berikutan tekanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan isu tarif terhadap Kemboja dan Thailand.
Thailand dan Kemboja bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas pertemuan khas di Putrajaya, Malaysia, semalam, dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada pertemuan yang dipengerusikan Anwar.
Pertemuan khas itu mendapat liputan meluas seluruh dunia termasuk media Indonesia yang memuji peranan Anwar dalam merealisasikan gencatan senjata berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd