Konon nak jumpa kawan, rupanya tokan dadah

Konon nak jumpa kawan, rupanya tokan dadah

am@hmetro.com.my

Melaka: Dua lelaki ‘tokan dadah’ dicekup bersama bahan disyaki dadah methamphetamine atau syabu lebih 800 gram di kawasan Jalan Ong Kim Wee, dekat sini, awal pagi tadi.

Tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis (BP), Tengkera dan Melaka Tengah semasa menjalankan tugas sekatan jalan raya dan menahan kereta Toyota Vios dipandu dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, operasi penangkapan turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan rapi di dalam kenderaan itu polis menjumpai bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 822.1 gram dan bernilai kira-kira RM18,000.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ini dipercayai untuk diedarkan di negeri ini dan jika terlepas ke pasaran gelap boleh digunakan oleh seramai 4,110 orang penagih dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 20-an terbabit adalah penganggur dan datang ke Melaka untuk bertemu rakan.

“Kita syaki mereka aktif mengedar dadah sejak tiga hingga empat bulan lalu dan semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya ada rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Suspek pertama mempunyai dua kes manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Hasil saringan awal ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hingga 24 April ini,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top