Shuib tidak kisah dikecam, tekad lunas hutang RM15 juta

Shuib tidak kisah dikecam, tekad lunas hutang RM15 juta

Kuala Lumpur: Pendedahan pelawak dan usahawan, Shuib mengenai beban hutang mencecah RM15 juta mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman dan sindiran segelintir pihak yang mempersoalkan kehidupan mewah dipaparkan selama ini.

Namun, Shuib atau Shahmira Muhamad, 42, tidak melihat semua tanggapan itu sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan, sebaliknya memilih untuk terus bekerja keras melunaskan segala komitmen kewangan selain menganggap ujian dilalui sebagai proses mematangkan diri.

Lebih menguatkan semangatnya apabila isteri, Watie Hanifiah serta anak-anak sentiasa berada di sisi, malah sanggup berkorban demi membantunya mengharungi antara fasa paling sukar dalam kehidupan.

Menurut Shuib, dia tidak berniat meraih simpati apabila berkongsi mengenai beban kewangan yang ditanggung, sebaliknya mahu memberi gambaran bahawa setiap usahawan mempunyai cabaran tersendiri.

Katanya, walaupun ramai melihat kehidupannya serba mewah, hakikat sebenar tidak seperti yang disangka.

“Saya pernah berkongsi mengenai masalah kewangan sebelum ini, cuma mungkin orang tidak perasan. Selepas muncul dalam podcast baru-baru ini, barulah ia menjadi perhatian.

“Ramai melihat kehidupan saya selesa, tetapi itu cara saya menguruskan kehidupan. Saya bukan jutawan.

“Dulu perniagaan berkembang dengan baik dan rezeki juga murah. Namun, orang perlu faham saya menguruskan banyak perniagaan, bukan satu atau dua sahaja.

“Dalam dunia perniagaan, gali lubang tutup lubang adalah perkara biasa. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini cabarannya lebih besar kerana saya turut berdepan pelbagai komitmen termasuk dengan agensi kerajaan,” katanya kepada BH Online.

Shuib berkata, isterinya menjadi individu paling banyak berkorban sepanjang dia berdepan ujian kewangan.

Katanya, sejak awal perkahwinan Watie sudah berdepan pelbagai kecaman, namun wanita itu tetap setia dan tidak pernah meninggalkannya ketika berada dalam kesusahan.

“Ketika saya memilih Watie sebagai isteri, ramai mengecam keputusan itu. Pelbagai tanggapan dilemparkan kepada kami.

“Alhamdulillah, selepas berkahwin saya mendapat jawapan paling indah. Ramai sangka dia bersama saya kerana harta dan kedudukan, sedangkan ketika saya melalui ujian inilah dia membuktikan kesetiaan.

“Dia tahu bagaimana hendak membantu dan sentiasa menjadi individu paling kuat di belakang saya,” katanya.

Katanya, anak-anak juga memahami keadaan yang dilaluinya sehingga sanggup menghulurkan wang simpanan masing-masing bagi membantu.

“Apabila pulang ke rumah, saya rasa tenang. Saya mempunyai isteri dan anak-anak yang baik. Itu lebih bernilai daripada wang ringgit.

“Sebab itu saya tidak boleh mengeluh. Apa yang saya ada hari ini sudah cukup untuk saya syukuri,” katanya.

Shuib berkata, dia tidak pernah menyesali setiap keputusan yang dibuat sepanjang bergelar usahawan biarpun terpaksa menanggung hutang besar.

Sebaliknya, katanya, setiap kegagalan memberi pengalaman berharga untuk membina semula perniagaan dengan ilmu dan strategi lebih baik.

“Saya anggap semua kegagalan sebagai proses pembelajaran. Dalam perniagaan, saya perlu menambah ilmu, membina pasukan yang lebih baik dan belajar membuat keputusan lebih tepat.

“Saya suka mendampingi mereka yang lebih berilmu kerana saya menikmati proses pembelajaran itu,” katanya.

Mengulas kecaman segelintir pihak yang menganggap nasibnya sebagai balasan terhadap kehidupan mewah sebelum ini, Shuib berkata, dia tidak pernah mengambil hati.

“Saya tidak kisah jika ada yang berkata, padan muka dahulu kaya sekarang tanggung hutang.

“Itu hak mereka. Saya tidak pernah mendidik diri untuk menghakimi orang lain. Lebih baik kita menjaga diri dan keluarga sendiri serta belajar bersyukur dengan apa yang dimiliki,” katanya.

Shuib berkata, dugaan yang dilalui turut mengajarnya supaya sentiasa meletakkan Allah sebagai tempat bergantung sebelum mengharapkan bantuan manusia.

Katanya, setiap ujian hadir dengan hikmah tersendiri dan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bangkit.

“Saya percaya saya hanya kalah apabila berhenti. Apabila berdepan masalah, jangan membelakangkan Allah. Jangan terus mencari manusia terlebih dahulu.

“Duduk, bersujud dan berdoa kepada Allah. Selepas itu barulah berusaha mencari jalan untuk membangunkan semula perniagaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top