Konsert Hip Hop G-Day ubah stigma nasib ‘Budak Kelas Belakang’

KUALA LUMPUR – Tiada masa depan dan tidak akan berjaya dalam hidup.

Itu antara kata-kata yang sering dilontarkan masyarakat kepada kumpulan pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik atau sering digelar ‘budak kelas belakang’.

Malah ada juga beranggapan, mereka tiada peluang untuk berjaya dan sering dilabelkan sebagai membebankan orang lain.

Melihat stigma negatif itu, seorang guru di sebuah pusat pengajian swasta, Muhammad Syahir Andenan atau lebih mesra digelar Badang, 28, mengambil inisiatif kreatif dengan memberi peluang kepada kumpulan pelajar terbabit untuk mencungkil bakat mereka menerusi nyanyian rap.

“Semua pelajar ada masa depan. Termasuklah pelajar-pelajar kelas belakang. Kita cuma perlu kenal pasti dan bukakan jalan untuk mereka nampak.

“Saya melihat melalui muzik rap ini, ia sebagai medium ekspresi atau luahan bakat yang bukan semua orang boleh miliki.

“Jadi inisiatif ini sebagai langkah untuk menepis stigma masyarakat terhadap bakat pelajar kelas belakang ini,” katanya kepada pemberita.

Guru pusat pengajian swasta, Muhammad Syahir Andenan atau Badang.

Badang berkata bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini mempamerkan bakat mereka, sebuah konsert Budak Belakang G-day 2.0 akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

“Selain konsert hip hop dan rap terbesar ini, pelbagai aktiviti lain antaranya mini X-Games, B-Boy dan lukisan mural grafiti akan diadakan selama 12 jam tanpa henti di Pusat membeli belah KWC StarExpo Centre, Kuala Lumpur.

“Sebahagian dari keuntungan jualan tiket akan disumbangkan kepada Cinta Syria Malaysia dan Aman Palestine bagi membantu mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Seramai 35 kumpulan artis rap terkenal akan membuat persembahan pada konsert itu antaranya Joe Flizzow, Kmy Kmo, Tuju & Loca, Forceparkbois dan Luqman Podolski.

Tiket Konsert telah mula dijual dengan harga tempahan awal bermula RM75 dan boleh dibeli secara dalam talian di https://www.budakblkg.com. – MalaysiaGazette