Moscow: Impian peminat Rusia menyaksikan persembahan rap bintang Amerika Syarikat (AS), Kanye West, berkubur apabila dua konsert dirancang di negara itu dibatalkan, kurang dua bulan selepas pengumumannya mencetuskan perhatian dan keterujaan luar biasa, lapor AFP.
Laporan itu menyebut, penganjur, Say Agency, mengumumkan pembatalan berkenaan pada hari ini, namun tidak memberikan alasan bagi keputusan itu.
“Rakan-rakan, dengan penuh rasa kesal kami mengumumkan bahawa konsert YE di Saint Petersburg tidak dapat berlangsung pada tarikh yang dijadualkan,” kata penganjur berkenaan dalam kenyataan.
Penganjur dilaporkan turut memaklumkan butiran berkaitan terma dan syarat bayaran balik tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.
West, yang menggunakan nama pentas Ye, dilaporkan masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung pembatalan berkenaan
Kontroversi mengenai penganjuran konsert itu tercetus selepas lokasi asal di Saint Petersburg dilaporkan menarik diri hanya beberapa hari selepas tiket mula dijual.
Keputusan itu mencetuskan ketidakpastian selama beberapa minggu mengenai sama ada konsert berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya.
West sebelum ini dilaporkan berdepan sekatan daripada beberapa negara Eropah susulan kenyataan antisemitik yang pernah dibuatnya.
Sekiranya diteruskan, persembahan West itu bakal menjadi kemunculan artis muzik Barat paling berprofil tinggi di Rusia sejak Moscow melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022.
Beberapa pegawai Rusia sebelum ini menyambut baik rancangan berkenaan, manakala sebahagian yang lain menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan kontroversi West termasuk pujiannya terhadap Nazi Jerman, isu yang amat sensitif di Rusia.
Sementara itu, akhbar Kommersant melaporkan bahawa polis sedang menyiasat penganjur berhubung dakwaan penipuan, berdasarkan sumber yang tidak dinamakan.
West, 48, pernah memenangi beberapa Anugerah Grammy dan antara nama besar hip hop Amerika yang mencetuskan kontroversi menerusi kenyataan serta tindakannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




