harisfadli@hmetro.com.my
Putrajaya: Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengaktifkan 100 peratus kekuatan merangkumi kira-kira 12,927 anggota di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi banjir besar ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, operasi perkhidmatan kecemasan akan bersedia 24 jam setiap hari khususnya pemantauan di lokasi berisiko tinggi yang sering dilanda bencana sebelum ini.
“Kebanyakan negeri dan daerah terutama di kawasan `hotspot’ banjir, kita sentiasa letakkan anggota APM sepanjang masa bagi tugas pemantauan. APM bersedia bagi operasi menyelamat pada bila-bila masa.
“Buat masa ini APM ada kekuatan lebih 12,000 anggota yang bersama-sama menguruskan bencana atau apa-apa kecemasan sepanjang MTL,” katanya ketika ditemui pada Program Sinergi Media Madani APM di sini, semalam.
Menurutnya, pegawai dan anggota APM terbabit merangkumi 1,757 anggota di Zon Utara, Zon Tengah (2,210 orang), Zon Selatan (1,703 orang), Zon Timur (3,108 orang) dan Zon Borneo (4,149 orang).
Selain itu katanya pelbagai aset akan diaturgerak ke kawasan berkenaan antaranya 997 aset jentera darat, 895 aset operasi air, dron (27 unit), jaket keselamatan (7,564), khemah lipat (96,929) dan mesin penjana atau genset (153).
Muhammad Abiddin berkata, fenomena MTL dijangka bermula penghujung Oktober atau awal November.
“Bagaimanapun garis masa sebenar bergantung kepada kajian dan pengumuman pihak Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Mengulas mengenai kekurangan aset, beliau menekankan keperluan menambah jentera berat bagi operasi menyelamat termasuk lori, ambulans dan pacuan empat roda .
“APM sentiasa mengutamakan tugas menyelamat nyawa rakyat walaupun berdepan apa juga halangan. Setiap individu berhak diselamatkan walaupun tinggal di pedalaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




