am@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow bakal mengadakan konsert solo pertamanya, Joe Flizzow – This is Johan Live In Concert selepas 15 tahun bergerak secara solo.
Konsert solo itu bakal berlangsung di JioSpace, di sini, jam 8.30 malam pada 15 Julai ini.
Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 44, berkata, peluang untuk mengadakan konsert solo itu adalah satu penghormatan buat karier nyanyiannya.
“Walaupun membesar di Subang Jaya, tetapi Petaling Jaya bandar yang sangat dekat dengan jiwa saya.
“Kedua, saya berasa terharu dilamar pihak JioBuddy yang juga sahabat baik saya, Sean Ng yang berusaha menjadikan konsert ini menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media konsert itu.
Mengenai pemilihan lokasi konsert pula, Joe berkata, dia mahu konsert yang boleh mendekatkan dirinya dengan peminat setia yang menyokong perjuangan muziknya, sejak dulu.
“Saya tidak anggap ini konsert skala besar kerana lokasi JioSpace boleh memuatkan kapasiti seramai 1,800 penonton dalam satu masa.
“Insya-Allah, jika konsert ini berjaya, ia akan menjadi permulaan untuk saya buat ‘road tour’ atau konsert skala yang lebih besar pula selepas ini,” katanya.
Ditanya pemilihan lagu pula, kata Joe, dia akan membawakan 30 rangkaian lagu popular dan dari album baharunya berjudul Johan.
Antara rangkaian lagu popular yang akan disampaikan dalam konsert itu seperti Sampai Jadi, CIAO, Satu Malam Di Temasek, Sang Saka Biru dan Kongsi.
“Selain rangkaian lagu popular, peminat yang hadir nanti dapat dengar lagu-lagu dari album baharu di mana lebih kurang 16 lagu dimuatkan.
“Apa yang menarik, saya juga ada beberapa artis jemputan yang bakal menghangatkan lagi konsert seperti Sona One dan Alif,”katanya.
Sepanjang bergerak solo, Joe pernah muncul dengan dua album iaitu The President pada 2008 dan Havoc pada 2013.
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert mula dijual pada 12 Mei ini dan boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia
© New Straits Times Press (M) Bhd
