Konstabel polis cedera ditembak, ditikam penjenayah

Konstabel polis cedera ditembak, ditikam penjenayah

lokman.khairi@hmetro.com.my

Ipoh: Anggota polis berpangkat Konstabel cedera ditembak dan ditikam individu tidak dikenali dalam kejadian di ladang kelapa sawit, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam insiden jam 1.30 pagi itu, suspek merampas pistol milik anggota polis itu, melepaskan tembakan dan menikam mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa berusia 26 tahun cedera di perut sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdahulu, sepasukan anggota daripada Balai Polis Simpang Pulai mengesan kereta mencurigakan dinaiki suspek di kawasan Taman Desa Pakatan, di sini.

“Mereka cuba menahan kereta itu, namun tidak berjaya kerana suspek bertindak melarikan diri sebelum kereta suspek berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.

“Dalam usaha melakukan tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek menemui mayat seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya di bahagian tempat duduk belakang.

“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian wanita berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri,” katanya

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 012-2500019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top