Kontroversi cerai beri kesan buat kerjaya Jay Iswazir

Kontroversi cerai beri kesan buat kerjaya Jay Iswazir

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Pelakon, Jay Iswazir, 42, tidak menafikan kontroversi dalam rumah tangganya yang berlaku baru-baru ini memberi kesan kepada kariernya sebagai pelakon.

Jay bagaimanapun sentiasa melihat apa yang berlaku dari sudut positif walaupun namanya ditolak oleh beberapa stesen TV selepas isi rumah tangganya heboh diperkatakan.

“Dari segi kesan kepada karier, benda itu tak pasti sangat. Pada awalnya, saya mendapat penolakan daripada stesen TV.

“Tapi, saya bersangka baik. Sebab kadang-kadang, sebelum kes ini berlaku pun, saya ada menerima penolakan juga. Saya tak berani cakap adakah saya direhatkan kerana sebelum ini pun, nama saya pernah ditolak.

“Melainkan saya ada terima surat rasmi daripada mana-mana stesen TV atau pihak. Jadi, saya berfikir baik. Insya-Allah, saya percaya kalau rezeki saya ada, akan ada,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jay, selepas apa yang berlaku, dia belajar banyak perkara antaranya, mendidik dirinya supaya lebih bertenang dan belajar untuk reda.

“Yang saya belajar selepas benda ini dan selepas melalui proses perundangan, pertama sekali bertenang walau dalam apa situasi pun.

“Benda ini jugalah saya rasa untuk mendalami apa maksud reda dan ujian yang Allah bagi.

“Sekarang, kalau kita sebut saja nama Allah atau agama, kita akan dilabel sebagai penunggang agama.

“Tapi, dalam hidup ini tak ada kebetulan. Sekurang-kurangnya, saya fikir Allah nak cuci dosa saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jay memberi tempoh lanjutan selama 10 hari kepada Azzahra bagi membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Sebelum itu, pada 9 Disember, Azzahra membuat laporan polis sebagai bukti kenyataan yang dikeluarkan berhubung menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh bekas suaminya dan menegaskan bahawa kejadian itu adalah benar.

Terbaharu, filem lakonannya, Dajal: Satu Malam Dipedajal arahan Pierre Andre akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Februari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top