JAKARTA – Wakil Presiden (Wapres) Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dilaporkan menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan kemelut berhubung kontroversi kelayakan akademiknya yang terus diperkatakan banyak pihak.Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, Gibran yang juga anak sulung bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi memaklumkan keputusan itu kepada Presiden Prabowo Subianto ketika pertemuan mereka pada Selasa.Menurut Prasetyo, pertemuan selama kira-kira dua jam setengah itu diadakan bagi membincangkan perkembangan susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung.Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa Prabowo menolak hasrat tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa Presiden memberikan beberapa nasihat dan pandangan kepada Gibran sepanjang pertemuan itu.”Wapres turut memohon diberikan peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen yang dimilikinya menerusi proses di Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN),” katanya.Perkembangan itu berlaku ketika Gibran, 39, berdepan tekanan politik yang semakin meningkat di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).Seramai 50 anggota DPR daripada enam parti politik menyokong usul menggunakan hak menyatakan pendapat bagi mengambil tindakan susulan berhubung kontroversi ijazah Gibran.Mahkamah Agung memutuskan surat pengesahan kelulusan setaraf sekolah menengah atas (SMA) milik Gibran yang digunakan bagi memenuhi syarat pencalonan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 adalah tidak sah.Keputusan itu turut mengambil kira pendirian Mahkamah Perlembagaan sebelum ini yang mendapati tiada dokumen dikemukakan bagi mengesahkan Gibran memiliki kelulusan setaraf SMA ketika menuntut di Singapura dan Australia.Mengulas kontroversi berkenaan, Gibran menegaskan beliau tidak mungkin dapat melanjutkan pengajian ke universiti sekiranya gagal menamatkan pendidikan peringkat SMA.”Jika saya tidak lulus SMA, bagaimana mungkin saya dapat melanjutkan pengajian ke universiti?”Saya juga berjaya menamatkan pengajian di Singapura sehingga memperoleh ijazah sarjana muda,” ujarnya pada 7 Oktober lalu. – Agensi
Kontroversi kelayakan akademik: Gibran mahu letak jawatan