Korea Utara sah berhasrat tarik diri

Korea Utara sah berhasrat tarik diri

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Korea Utara berhasrat menarik diri daripada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John bagaimanapun menjelaskan perkara itu masih dalam perbincangan dan tidak menolak kemungkinan tindakan itu akan memberi impak kepada pasukan lain.

“AFC masih dalam perbincangan dengan Korea Utara untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi sehingga berhasrat menarik diri.

“(Keputusan) berkenaan perkara itu mungkin akan dimaklumkan dalam beberapa hari. Jika ada mana-mana pasukan tarik diri mesti akan ada kesan kepada pasukan lain,” katanya, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam menyerahkan kepada AFC untuk membuat keputusan mengenai tindakan Korea Utara yang dilaporkan berhasrat mahu menarik diri.

Namun, sekiranya Korea Utara disahkan tarik diri, ia kemungkinan besar akan memberi impak kepada peluang pasukan lain yang semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira.

Berdasarkan kedudukan semasa dalam kumpulan G, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia tidak dikira namun Harimau Malaya tetap berpeluang untuk mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Windsor menjelaskan pasukan lain tetap akan bermain mengikut jadual walaupun Korea Utara tarik diri.

“Satu negara sahaja yang tarik diri dan yang lain kena bermain sebab bagaimana kita boleh tahu pasukan mana akan menjadi nombor satu dan dua. Slot (Piala dunia/Piala Asia) kekal sama tiada apa-apa perubahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top