Korek pasir cetus kebimbangan, Thailand henti aktiviti di tebing Sungai Golok

Korek pasir cetus kebimbangan, Thailand henti aktiviti di tebing Sungai Golok

news@nst.com.my

Kota Bharu: Pihak berkuasa Thailand sudah menghentikan aktiviti mengorek pasir di sepanjang tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia susulan aduan yang dikemukakan melalui saluran penyelarasan sempadan dua hala.

Pengarah pusat operasi daerah Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng, berkata tindakan itu diambil pada 17 Mac lalu selepas pihaknya menerima laporan mengenai aktiviti tersebut daripada pihak berkuasa Narathiwat.

Menurutnya, pihak berkuasa di Narathiwat dimaklumkan oleh rakan sejawat dari Malaysia melalui pejabat penyelarasan sempadan Thailand-Malaysia di bawah pengelolaan pihak tentera.

“Aduan itu mendakwa sebuah jengkaut digunakan di Sungai Golok untuk mengorek pasir di sepanjang tebing sungai di sebelah Malaysia. Aktiviti tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal kami, aktiviti itu adalah sebahagian daripada kerja-kerja perlindungan tebing sungai yang dijalankan oleh kontraktor Thailand,” katanya.

Supeeyan, yang juga pegawai daerah Sungai Golok dan komander Kompeni Sukarelawan 6, berkata beliau mengarahkan pasukan ke lokasi pada 17 Mac untuk mengesahkan aduan berkenaan.

“Pasukan tersebut bertemu dengan syarikat terlibat dan mengeluarkan amaran tegas melarang penggunaan jengkaut untuk mengorek pasir dari sungai.

“Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan itu,” katanya sambil menambah langkah tersebut diambil bagi menangani kebimbangan Malaysia serta memastikan pematuhan peraturan di sepanjang sungai sempadan.

Sementara itu, penduduk di Rantau Panjang meluahkan kebimbangan bahawa aktiviti mengorek pasir itu boleh menyebabkan Sungai Golok menjadi semakin cetek dan berpotensi menjejaskan alirannya.

Penduduk Mohamad Naziz Abdul Zaman berharap pihak berkuasa Malaysia dan Thailand mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Sebarang perubahan terhadap struktur sungai boleh memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar.

“Ppemantauan berterusan dan penguatkuasaan yang ketat amat penting bagi melindungi sungai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top